Saturday, 30 June 2012

Nota : Untuk yang tersayang


Hari ini, genap satu bulan kau lahir ke dunia yang penuh dugaan ini. Papa ingin menulis sesuatu untuk kamu berdua sayang. Papa tak tahu, akan datang jika kamu sudah menginjak dewasa, adakah kamu akan mengingat papa sebagai lelaki yang keras yang mendakap kamu penuh kasih sayang. Atau kamu mengenang papa sebagai lelaki yang pernah menghambur bicara kasih untuk kamu tersenyum. Atau kamu mengenang papa sebagai lelaki yang penuh humor yang sentiasa menceriakan harimu. Atau mungkin juga kamu mengenang papa sebagai lelaki yang tidak memperdulikan kamu dengan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Tapi, papa akan belajar dan cuba untuk menjadi papa yang kamu sayang, papa yang kamu kenang sehingga bila-bila.

Doa papa, papa mahu kita sama-sama menjadi hamba-Nya yang Dia sayang. Semoga kamu terus ingat, papa sering memberi nasihat, berkata penuh madu, dan semoga kamu masih ingat papa adalah lelaki yang tidak pernah putus doa untuk kebahagiaanmu, mama, ibu dan seluruh keluarga. Dan ingatlah, papa sentiasa akan menjadi pendinding kamu, sayang.

Sekiranya kamu bertanya, sampai bila papa akan menjadi pendinding kamu? Papa hanya mampu berkata walaupun dengan hati yang berat, "Sehingga ada lelaki yang lebih baik daripada papa, yang datang dengan sopan dan meminta hatimu dengan kasih.."

Yang sentiasa dihatimu...

6hb Mei 2012


-Papa-

No comments: